PERLEMBAGAAN
Perlembagaan Kelab
Pejabat Pelajaran Daerah Kerian
1. Nama dan alamat berdaftar
1.1 Persatuan ini dikenali dengan nama Badan Kebajikan Pejabat Pelajaran Daerah Kerian selanjutnya dikenali dengan nama ringkasnya KPPDK. Selepas ini disebut “Badan”
1.2 Alamat berdaftar ialah Pejabat Pelajaran Daerah Kerian, Jalan Permai Utama, Taman Kerian Permai 34200 Parit Buntar Perak atau tempat lain yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa KPPDK
2 Bahasa
2.1 Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi KPPDK dalam semua mesyuarat agung, mesyuarat jawatankuasa dan mesyuarat jawatankuasa kecil.
3 Tujuan-tujuan dan maksud-maksud
3.1 Untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua individu yang bekerja di Pejabat Pelajaran Daerah Kerian.
3.2 Untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang memupuk hubungan erat antara semua individu yang bekerja di Pejabat Pelajaran Daerah Kerian.
3.3 Untuk membantu pentadbiran dan pengurusan Pejabat Pelajaran Daerah Kerian.
4 Keahlian
4.1 Semua individu yang bekerja di Pejabat Pelajaran Daerah Kerian adalah secara automatis menjadi ahli badan ini.
4.2 Keahlian adalah tertutup kepada individu atau pihak luar yang tidak bekerja di Pejabat Pelajaran Daerah Kerian.
5 Sumber Kewangan
5.1 Setiap ahli adalah diwajibkan membayar yuran bulanan yang akan ditetapkan oleh Jawatakuasa yang dilantik untuk tahun semasa.
5.2 Setiap ahli perlu menyelesaikan semua yuran bulanan selama mana ia berkhidmat di Pejabat Pelajaran Daerah Kerian.
5.3 Yuran yang telah dibayar tidak akan dikembalikan.
6 Pentadbiran
6.1 Pentadbiran KPPDK terdiri daripada jawatankuasa yang dilantik semasa mesyuarat agung tahunan mengikut struktur seperti yang berikut :
6.1.1 Pengerusi
6.1.2 Timbalan Pengerusi
6.1.3 Setiausaha
6.1.4 Bendahari
6.1.5 6 orang ahli jawatankuasa
6.1.6 2 orang Pemeriksa Kira-Kira Dalaman
6.2 Pentadbiran KPPDK adalah terserah kepada jawatankuasa di atas dan tertakluk kepada pandangan serta cadangan penaung dan penasihat tetap persatuan iaitu :
6.2.1 Penaung adalah atas nama jawatan rasmi Pegawai Pelajaran Daerah Kerian dengan mendapat persetujuannya.
6.2.2 Penasihat adalah atas nama jawatan rasmi Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kerian dengan mendapat persetujuannya.
6.3 Jawatankuasa yang dilantik akan menguruskan pentadbiran persatuan untuk tempoh 2 tahun atau 24 bulan kalendar masihi.
6.4 Jawatankuasa lama yang telah meletakkan atau melepaskan jawatan hanya boleh dilantik semula selepas 2 tahun atau 24 bulan kalendar masihi.
7 Koram Mesyuarat
7.1 Koram untuk Mesyuarat Agung dianggap cukup jika jumlah ahli yang hadir minima seramai 25 orang.
7.2 Jika koram tidak cukup setelah setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak melebihi 10 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.
7.3 Jika koram tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir untuk menjalankan mesyuarat bagi hari itu.
7.4 Mesyuarat Agung Tahunan persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah akhir tahun kewangan, pada tarikh, masa dan tempat yang akan :
7.4.1 Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan aktiviti-aktiviti persatuan dalam tahun yang lalu.
7.4.2 Menerima laporan Bendahari dan penyata yang telah diaudit bagi tahun yang lalu.
7.4.3 Melantik Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang.
7.4.4 Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat.
7.5 Notis Mesyuarat Agung Tahunan yang menerangkan tarikh, waktu dan tempat panggilan serta usul atau cadangan yang hendak dibincangkan hendaklah disebarluaskan oleh Setiausaha kepada setiap ahli tidak lewat daripada 15 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat.
7.6 Mesyuarat Agung Khas bagi persatuan ini boleh diadakan jika :
7.6.1 Atas keperluan ahli-ahli Jawatankuasa.
7.6.2 Atas permintaan seramai 20 orang ahli biasa secara bertulis dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.
7.6.3 Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli biasa hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat.
7.7 Perkara (7.1), (7.2) dan (7.3) di dalam perlembagaan ini berkenaan koram dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan mesti dipakai untuk Mesyuarat Agung Khas.
8 Kewajipan-kewajipan penyandang jawatan
8.1 Pengerusi
8.1.1 Adalah bertanggungjawab memastikan Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
8.1.2 Pengerusi dalam masa jawatannya hendaklah menjadi pengerusi semua Mesyuarat Agung Tahunan dan semua Mesyuarat Jawatankuasa. Ia hendaklah menandatangani semua cek badan (Jika ada) yang dimandatkan bersama-sama Bendahari atau Setiausaha.
8.2 Timbalan Pengerusi
8.2.1 Hendaklah memangku jawatan sewaktu ketiadaan Pengerusi
8.3 Setiausaha
8.3.1 Setiausaha hendaklah menjalankan kerja-kerja berkaitan pengendalian mesyuarat dan hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan membuat catatan.
8.3.2 Ia hendaklah mengeluarkan semua surat notis mesyuarat dan menyediakan minit mesyuarat untuk diedarkan.
8.3.3 Ia hendaklah menandatangani semua cek (jika ada) bersama-sama Pengerusi atau Bendahari.
8.4 Bendahari
8.4.1 Adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab ke atasnya.
8.4.2 Ia hendaklah menandatangani semua cek persatuan bersama-sama Pengerusi atau Setiausaha.
8.5 Ahli-ahli Jawatankuasa
8.5.1 Hendaklah membantu menjalankan tugas-tugas yang diarahkan.
8.5.2 Ahli-ahli Jawatankuasa akan ditugaskan mengendalikan biro-biro tertentu mengikut keputusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa bagi tahun semasa.
8.6 Pemeriksa Kira-Kira
8.6.1 Pemeriksa Kira-Kira hendaklah memeriksa kira-kira persatuan dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan.
9 Pindaan Perlembagaan
9.1 Perlembagaan tidak boleh dipinda atau diubah kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung.
9.2 Cadangan pindaan perlembagaan hendaklah dibuat secara bertulis kepada Setiausaha sebulan atau 30 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan dan diedarkan kepada ahli-ahli 14 hari sebelum mesyuarat.
9.3 Pindaan perlembagaan mesti dipersetujui oleh 2/3 ahli yang hadir.